larut di kuala lumpur
Beberapa tahun kebelakang, saya menemukan sebuah ritual yang asyik. Malam-malam terakhir menjelang Aidilfitri, sebelum menghumban diri ke persekitaran yang lebih tenang berbanding di kota ini, saya akan melemaskan diri terlebih dahulu ditengah-tengah Kuala Lumpur untuk menikmati nyawanya yang luar biasa getarnya.
Menjelang tengah malam dibawa ke dinihari, suasana dan elektrik yang teralir amat berlainan. Malam tadi, jalan TAR ‘tutup’. Orang-orang sekitar kota ini tiba-tiba merasakan perlu merayakan sesuatu. ‘Sesuatu’ yang bukan hanya bersangkut perihal membeli baju atau karpet baru. Ia lebih bermakna dari itu kerana, Kuala Lumpur biasanya hanya akan dikerumuni oleh energi-energi lambam, yang hidup untuk memenuhi atau membolot kesejahteraan materi semata.
Tetapi, di nadi kota ini malam tadi, semangatnya jadi lain. Entah berkat Ramadan atau apa, Kuala Lumpur seperti menerima roh baru yang selama ini sudah lenyap dibungkam. Penghuninya mungkin tiba-tiba tersedar dari bius yang panjang, bangun dan mahu merawat kembali semangat kota ini yang sekian lama dirogol oleh tembok-tembok tinggi yang artifisial dan menyesakkan.
Orang – yang bertandang atau yang berniaga – merentang dan memblokade jalan. Kenderaan jadi tak masuk akal lagi untuk berada di tengah-tengah keramaian itu kerana tidak akan berganjak lekas. Yang tua, orang muda, anak-anak kecil serta perempuan-perempuan gemalai dengan daging-daging segar yang dibawa tak segan-segan keluar menakluk.
Menakluk apa yang sepatutnya menjadi sebahagian daripada hidup mereka. Mengidupkan kota kelam ini dengan roh dan pesta keramaian yang harmoni. Hal-hal beli-belah bukan pokok. Yang lebih bermakna adalah perhimpunan itu, berlanggar bahu dan badan, melarut dengan realiti kehidupan kota raya ini di abad ke-21 dan menggeletar semula menafsirkan maksud dosa – itulah agaknya yang mengejutkan kembali nilai-nilai kebudayaan sesebuah kota yang dulu pernah melupakan sejarah dan titik mulanya. Dan, malam tadi, saya menyaksikannya di Kuala Lumpur, walaupun mungkin tak ramai mereka-mereka yang berkunjung itu memahami maksud yang satu ini.
Memang lebih menyamankan bermandi peluh dan bergesel dengan dada-dada dan lengan melekit, mengusik pandang orang-orang ditengah pesta seperti ini berbanding dengan perjumpaan-perjumpaan sosialit yang sentiasa memerlukan orang untuk menjadi watak berpura-pura. Di sini, semua bertelanjang di dalam realiti. Wang misalnya, tidak diletakkan dihadapan malam tadi. Tetapi yang ada hanya sebuah pertemuan membahagiakan antara seluruh warga kota yang memilih untuk turun menghurung lorong-lorong hamis dan hancing itu.
Selamat merangkul Aidilfitri dalam dakapan kamu dengan rasa rendah hati buat semua. Maaf Zahir & Batin. Kerana perkara-perkara seperti ini memberitahu kita bahawa, kita masih hidup untuk terus menghidupi apa saja yang telah lesu dan dilupakan sebelumnya.
* Untuk selebihnya foto-foto, lawati album dimuka FB Hafiz Jelir di bawah tajuk sama.
-HH, 9 September 2010.

