ayu utami: imajinasi melepas ketepuan

Manjali dan Cakrabirawa
Ayu Utami
Kepustakaan Populer Gramedia
2010

Setiap kata tidak akan berlaku adil kepada penikmatnya. Kecuali jika kita menggagahi deria yang tak diketahui, untuk perlahan-lahan merasa dan mengesahkan ‘keber-ada-an’ semangat sesebuah teks itu, yang membaca itu akan tertipu. Atau, sekurang-kurangnya lemas dalam keterapungan bayang-bayang – tanpa mereka sedari. Dan, ini adalah kecelakaan paling memalukan bila kita berbicara tentang proses membaca.

Ada dua daerah di mana sesebuah tulisan itu akan membawa pembacanya. Pertama dan paling kerap, ia akan menjerumuskan orang ke lembah ketepuan – baik pemahaman atau kenikmatan – dan membuatkan orang-orang merasakan bahagia dengan keadaan itu. Kedua, ia akan membawa pembacanya dengan penuh rasa hormat ke suatu lingkar imajinasi – atau realiti – yang cuba untuk melepaskan segala bentuk cengkaman ke atas pembacanya dan membiarkan mereka meresap sendiri untuk menikmati daerah imajinasi yang menyenangkan.

Dengan penuh tanda tanya, tetapi turut memberi ruang untuk mereka membangun persepsi sendiri. Bukan menjadikan teks yang ditulis itu sebagai satu ajen didaktik, untuk memaksa pembaca tunduk kepada anutan penulisnya secara buta. Kerana, semua perkara ada saja kebarangkalian yang jarang-jarang mahu kita fikirkan.

Begitu juga dengan novel atau mana-mana kerja fiksyen yang dihasilkan. Tak ada satu piawai pun yang dapat menentukan satu-satu novel itu enak atau tidak. Kerana kita bermain dengan petunjuk-petunjuk estetika yang subjektif, maka sesiapa saja boleh menyatakan anggapan mereka terhadap sesebuah kerja fiksyen itu sesuka hati.

Tetapi, jangan dilupa. Ada perkara lain yang akan menyangkal pandangan itu. Dan, pembaca perlu mengasah faham dan deria pada tingkat yang berlainan daripada biasa. Ini kerana, dunia yang diceritakan di dalam sesebuah novel itulah yang akan memberitahu kita bahawa ia merupakan satu hasil yang memuaskan atau sebaliknya.

Dunia yang begitu penting untuk mempesonakan pembaca. Dunia, dengan perjalanan kisahnya yang sentiasa tertambat kepada perkara-perkara yang difikirkan dalam-dalam oleh penulisnya untuk diceritakan. Sebuah dunia yang membuka jendela-jendala baru dalam maksud memberi kekuatan tersendiri kepada pembacanya, misalnya penguasaan nilai-nilai yang baru diciptakan, yang mana pembaca mungkin belum mempunyai latar apa pun tentang sesuatu hal itu.

Kerap juga, apa yang berlaku  adalah sebaliknya. Pembaca hanya diperlakukan sebagai penunduk kepada kata-kata sang penulis tanpa banyak bicara. Mereka dikepung dengan indoktrinasi sempit yang dipercayai oleh penulisnya, tentu sekali tanpa disedari. Walaupun tanpa kenikmatan yang menyenangkan, orang tetap meyakini bahawa itulah hasil yang paling mengkagumkan pernah dibaca.

Dunia yang sepatutnya melepaskan imajinasi pembaca menjadi sebaliknya. Tirai labuh yang tebal diturunkan dalam dunia berkenaan, mengepung gelombang fikir pembaca dengan bayangan hantu mereka mengikut acuan-acuan tertentu yang terlampau sadis. Dan, bahasa juga dibunuh. Tetap saja kelompok tulisan seperti ini akan diraikan, kerana yang membaca belum sedar akan tirai tebal yang membelenggu mereka.

Saya, sebagai pembaca tentunya mempunyai pilihan. Dan saya tidak akan memilih untuk membaca kerja-kerja sebegitu.

Atas alasan ini, Ayu Utami tidak pernah gagal untuk menarik khalayak untuk turut serta di dalam dunia yang diciptakannya dalam novel. Saya tidak menyatakan bahawa kerja-kerja Ayu Utami adalah contoh terbaik penulisan fiksyen rantau ini. Tetapi, saya menyebutkan dia ‘tidak pernah gagal’ untuk mempesona keghairahan pembaca.

Novel terbaru beliau, Manjali dan Cakrabirawa tiba-tiba menjadi suara yang berlainan sekali dengan novel-novel sebelumnya. Ia merupakan lanjutan daripada novel ketiganya, Bilangan Fu dan membawa kita mengenali alam purba dan mistik serantau dari corong yang menyaksikan pertembungannya dengan nilai-nilai moderniti. Juga, percakapan tentang sejarah, dalam nada yang membuatkan orang tak jemu.

Dia menghumban pembaca dalam dunia watak-wataknya yang mudah. Dia hanya bercerita tanpa perlu mengajak pembaca untuk bersetuju sama.  Dia membiarkan kita berjalan sendiri-sendiri di dalam dunianya, melihat dengan cara seperti apa pun perkara yang mahu disebutkan dan tetap tidak mahu menginjak kemampuan pembacanya.

Kalaupun tak ada apa yang betul-betul mencengkam pembaca tentang kisah-kisah wataknya, ada satu perkara penting yang masih menambat keiinginan kita untuk membacanya sampai habis – sama seperti novel-novelnya yang terdahulu. Bahasa. Bahasa yang dipermudah, tetapi tidak ditunggang semata-mata untuk menyampaikan maksud. Ia melenggok dalam rentak dan lirik yang tetap saja bernilai.

Manjali dan Cakrabirawa menyorot beberapa peristiwa yang dekat dengan sejarah dan kebudayaan Indonesia. Antaranya penemuan dan kajian dengan candi-candi semangat lama yang menjadi perkara sentral penceritaan novel ini. Dari situ, Ayu mengait perlakuan sejarah, misalnya insiden pembunuhan tujuh jenderal Angkatan Darat yang dikenali sebagai Gerakan 30 September 1965 yang membawa kepada kejatuhan PKI dan dominasi politik Indonesia oleh Jeneral Soeharto selepas itu.

Ia tak berhenti di situ. Ada lagi cabang yang dikaitkan dengan sejarah di dalam novel ini; kepercayaan mistik dan spiritual yang tetap menjadi tiang utama pengamatan masyarakat rantau ini.

Novel ini adalah siri pertama daripada kelangsungan Bilangan Fu. Melihat kepada gayanya, seperti akan ada lagi sambungan kepada kisah-kisah ini. Begitu juga dnegan Parang Jati, Marja, Yuda dan Jaques, watak-watak yang menghidupkan dunia khayalan dalam novel ini. Mereka seperti semakin matang, berkembang dan mendewasa untuk terus bercerita kepada kita tentang dunia mereka yang terbina antara lembar kertas dan susun aksara yang memukau.

- HH, 29 Julai 2010.

Advertisement

~ by Jelir on August 27, 2010.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.