siaran tergendala
Buat sementara waktu, atau mungkin untuk satu jangka masa panjang, tulisan saya menyelongkar buku yang terbit setiap Selasa di akhbar Kosmo! tidak lagi akan tersiar. Kolum itu digantung, atau mungkin dibuang terus – tak ada yang jelas. Semua ini berlaku ketika saya diam-diam menyambut ulang tahun pertama kolum berkenaan seorang diri, di malam-malam dingin Ramadan tahun ini di Kuala Lumpur. Genap setahun dan ia mungkin mati terus.
Yang diperdengarkan, editor di sana memerlukan ruang yang satu muka itu untuk mempromosi buku-buku terbitan Utusan Publications & Distributors (UPD). Tentu sekali, bukan saya yang akan menulis untuk tujuan itu. Tak akan. (Kerana judul-judulnya tak banyak yang bagus, akan dihurung mungkin dengan buku-buku berjudul ‘Menjahit Langsir’ atau ‘Bagaimana Menyiapkan Kek Lapis Sarawak’ atau sebagainya – saya tak tahu.)
Saya memulakan kolum berkenaan menggantikan ruang yang biasa terisi oleh tulisan-tulisan juga tentang buku, yang dikelolakan oleh Shahrom TM Sulaiman. Artikel pertama saya waktu itu adalah tentang buku Into The Wild oleh Jon Krakauer. Minggu-minggu awalnya senyap. Tetapi, ia perlahan-lahan semakin banyak mendapat perhatian orang. Emel, kalau pun tak bertimbun di kantung, tetap ada yang akan mengirimnya dan bertanyakan pelbagai hal. Sejak itu saya sedar, ramai lagi yang mungkin membacanya diam-diam, tetap mengharapkan kolum itu akan terus ada untuk memberi alasan kuat kepada mereka membeli akhbar berkenaan setiap pagi Selasa tanpa gagal. Saya tahu kerana, bila saja ada tulisan-tulisan saya ditendang keluar, atau ditangguh ke hari lain, akan ada emel-emel yang bertanyakan ‘kenapa tak ada artikel hari ini?’. Dengan nota ini, diharap kepada mereka yang mengikuti senyap-senyap itu tak lagi tercari-cari kolum berkenaan. Memang dah tak ada.
Artikel terakhir saya, yang dihantar minggu lalu bersangkutan buku Intelektualisme Budaya himpunan esei-esei A. Aziz Deraman kekal tertimbus. Mungkin nanti akan terselit di mana-mana.
Saya bagaimanapun perlu mengucapkan terima kasih kepada Kosmo! untuk peluang yang diberi. Kerana, sepanjang pengalaman saya membaca akhbar berbahasa Melayu di Malaysia, belum pernah ada mana-mana penerbitan yang berani untuk mengasingkan satu muka surat penuh seminggu sekali, hanya untuk berbicara tentang sebuah buku. Ruang itu, untuk tempoh setahun yang lalu, adalah milik mutlak saya. Semua buku-buku yang terpampang di dada akhbar berkenaan untuk kolum itu saya pilih sendiri, dengan pertimbangan-pertimbangan yang pelbagai. Saya tidak pernah menerima arahan untuk menulis tentang buku-buku tertentu. Semua saya putuskan sendiri. Dan, jika ada yang mereka tak berkenan – terus ditolak.
Oleh kerana saya menulis dengan nada yang aneh yang melempar ke tengah lembar itu judul-judul buku yang juga aneh-aneh (dalam konteks media perdana dan media popular), maka ia menyebabkan suara itu kerap mahu di dengari. Walaupun saya kerap mempunyai masalah dengan cara editor-editor menyunting tulisan yang dihantar, saya tetap bersyukur dan menutup sebelah mata kerana sekurang-kurangnya, mereka tetap memberi ruang yang begitu signifikan untuk tulisan-tulisan yang disiapkan setiap minggu secara konsisten.
Juga, disebabkan kolum berkenaan, saya kerap dihubungi dan menghubungi serta menerima buku-buku dari penerbit tempatan. Bertimbun yang tak sempat dibaca. Saya terpaksa menolak pemberian-pemberian yang mengharapkan agar buku-buku itu diulas dalam kolum sebagai balasan. Kerana, saya dari awal menjelaskan bahawa terserah kepada saya sama ada untuk menulis tentang sesebuah buku itu dengan cara apa pun – atau tidak. Di sini, dengan rendah hati dan ucapan terima kasih – juga memohon maaf – saya tujukan kepada beberapa penerbit yang tak salah ingatan saya, pernah mengirimkan buku tetapi tidak dapat dilunasi tulisan tentangnya.
Mungkin kerana buku itu saya rasakan tidak ada roh yang kuat, atau mungkin juga kerana belum sempat membacanya. Antaranya ialah pihak Institut Terjemahan Negara (ITNB), Tinta Publishing, Sindiket Sol-Jah, Penerbitan Jargon, Islamic Book Trust Kuala Lumpur, Pak Rejab FI dan Marshall Cavendish. Dan, disebabkan kekhuatiran seperti inilah, saya lebih gemar membeli buku-buku yang dihajatkan sendiri berbanding dengan meminta-minta untuk dihadiahi atau diberi percuma.
Tapi saya tak apa-apa dengan perkembangan terbaru ini. Walaupun sedikit kecewa sebenarnya kerana kolum yang saya fikir penting itulah yang terawal sekali dikorbankan untuk memberi laluan kepada penerbit besar seperti UPD, yang mungkin hanya melihat dari corong kepentingan perniagaan dan bukan dari corong peri pentingnya elemen kesusasteraan dan estetika budaya di dalam akhbar.
Ada juga keinginan sendiri untuk saya membukukan tulisan-tulisan kolum berkenaan – tentunya yang diperkemas dan dari versi bebas suntingan Kosmo! – untuk diterbitkan di dalam satu-dua jilid. Entahlah. Belum lagi ada apa-apa yang pasti.
Apa pun, saya tetap akan menulis, sekurang-kurangnya diruang blog maya ini. Itu kerana, menulis pada saya bukan satu pilihan. Menulis adalah mandatori. Menulis dan kesusasteraan adalah roh untuk saya terus hidup. Dan saya akan teruskannya di sini, dengan keinginan yang menjalar, yang sekali-sekali bertukar menjadi kedinginan yang menggigit.
Untuk seketika, siaran tergendala.
-HH, 19 Ogos 2010.

Teruskan menulis di Jalan Telawi, Fiz. Aku selalu tunggu untuk baca tulisan kau.
Orait. Hutang tulisan RK pun sangkut lagi ni…
ahh, takpe, sumbangan itu sudah dilakukan..
teruskan menulis encik H. biarpun seorang sahaja yang membaca, teruskan..
Ye Cik Alina, akan selalu ada kat sini.
this is very much appalling H.
It’s ok. Tak jadi masalah.