pergolakan tradisi jhumpa lahiri
Interpreter of Maladies
Jhumpa Lahiri
Flamingo
2000
Mari bicara tentang individu ini; Nilanjana Sudeshna Lahiri, atau juga dikenali dengan nama yang lebih manja, Jhumpa Lahiri. Tentu saja beliau adalah penulis, berketurunan India-Bengali, dilahirkan di London dan kini warga negara Amerika. Untuk permulaan, pinggirkan dulu hasil kerja tulisannya. Kerana, jarang ada ditemukan seorang penulis, tambah lagi seorang penulis wanita, yang menonjolkan dirinya dengan penuh persona tersendiri, baik fizikalnya mahupun intelektualnya.
Bagi genre penulisan yang sekarang ini disebut ‘chic-lit’, ia dihuni oleh penulis-penulis muda wanita yang berpenampilan menarik, sesuai dengan hal-hal pop dan bersahaja yang selalu diangkat melalui tulisan atau novel-novel mereka. Antara nama yang boleh disebut dari kelompok ini mungkin Sophie Kinsella (atau apa saja nama yang pernah digunakannya) dan juga Cecilia Ahern. Tetapi mereka ini bermain di lapangan yang tenang, menulis tentang hal-hal yang berada sekitar mereka dan tidak menggugat banyak perkara; Kinsella dengan siri Shopaholic-nya, Ahern pula lebih cenderung dengan kisah-kisah roman yang turut mengesankan, misalnya P.S. I Love You.
Tetapi tidak Lahiri. Dia waktu ini mungkin menjadi sekuntum bunga mekar di dalam lanskap penulisan sastera dunia. Intai foto-fotonya yang bertebaran di ruang maya; seorang perempuan muda yang boleh saja disalah tafsirkan sebagai seorang model sepenuh masa. Itu juga tidak penting. Paling utama, dia tidak menulis semberono. Latarbelakang pendidikannya juga bukan calang-calang. Antara yang perlu disebut ialah Lahiri merupakan pemegang beberapa ijazah dari University Boston, dengan pengiktirafan dan tauliah antaranya seperti M.A. dalam Bahasa Inggeris, M.F.A.dalam Penulisan Kreatif, M.A. dalam Sastera Bandingan serta Ph.D. dalam Pengajian Renaissans. Dia kemudiannya turut mengajar di situ.
Tak banyak buku yang diterbitkan oleh penulis yang kini berusia 43 tahun ini. Setakat ini hanya ada tiga judul sahaja yang dipasarkan. Himpunan cerita-cerita pendek Interpreter of Maladies (1999) adalah yang pertama diterbitkan, diikuti oleh novel pertama beliau yang turut diangkat ke layar perak berjudul Namesake (2003) dan terbaru, juga himpunan cerita pendek – Unaccustomed Earth (2008). Buku pertamanya inilah yang pada tahun 2000 diangkat sebagai pemenang Hadiah Pulitzer Bagi Fiksyen dan sekaligus melonjakkan namanya sebagai antara penulis cerita pendek terbaik di Amerika. Banyak lagi pengiktirafan lain yang diperoleh sebelum dan sesudah itu.
Ada apa yang istimewa dengan penulisan wanita ini? Bagi menjawab soalan ini, hanya ada satu jawapan yang paling sah; imajinasi yang dibangunkan yang mana berangkat dari asal latar belakang dia sendiri. Seorang keturunan Bengali dari India, lahir ditengah kota metropolitan Eropah dan kemudian mendapati dirinya tercampak pula ke benua Amerika. Tentu saja yang menjadi pemberat kepada cerita-cerita ini ialah pergolakan emosi dan fikiran yang terkandung di dalam setiap kisah dan wataknya. Semua bertolak daripada landasan yang sama, sosok individu-individu yang berakhir di sebuah tempat yang dirasakan asing tetapi masih dibayangi oleh tradisi yang diwarisi dari nenek moyang dan tempat asal susur galur keluarga mereka. Di sinilah titik perbezaan bagi tulisan-tulisan Lahiri berbanding penulis wanita seangkatannya yang memilih untuk memberi perhatian kepada selera penulisan popular.
Inilah yang menjadi teras kepada cerita-ceritanya. Sembilan kisah yang terkandung di dalam buku ini, hampir kesemuanya digarap dengan cukup baik dan berkesan. Kerap kali Lahiri membawa pembacanya menelusuri kehidupan yang direka di dalam ceritanya dan menyuntik seberapa banyak dos realisme untuk mengukuhkan naratif. Tetapi, yang membezakan elemen realisme ditangan Lahiri ini ialah sudut pandangan dan perspektif yang dibawakan oleh watak-wataknya adalah luar biasa, sekurang-kurangnya berada di luar lingkar kebiasaan umum cerita-cerita pendek.
Apa yang membuatkan gaya penulisan Lahiri ini cepat menangkap imajinasi pembaca ialah keringkasannya. Dia berbicara dengan bahasa mudah, dengan kejelasan ‘suara’ yang terang serta tidak menunjuk-nunjukkan ketinggian intelektualnya. Semua kegetiran diungkapkan dengan frasa-frasa tenang. Begitu juga dengan pandangan-pandangan yang mehu dipersembahkan, semua ini diulit dengan cukup teliti dan diselindungkan dengan keramahan yang serta-merta akan muncul. Makdusnya, dia tidak mengatakan dirinya itu pandai, tetapi dia menyelitkan kepandaianya itu – untuk bermain kata-kata atau mencampakkan idealisme – disela-sela perkataan dan prosa yang amat cantik dan teratur dan, semestinya tidak membosankan.
Plotnya tidak lurus, pengucapannya tidak hanya sekata dan maksudnya tidak bangkit untuk mendominasi keadaan. Hanya yang ada ketika menatap buku ini ialah susunan perkataan yang dirangkaikan dengan naratif yang menarik, serta pengalaman pembaca yang perlahan-lahan disangkut pada helaian demi helaiannya dengan rasa kagum.
Semua ceritanya tidak terlepas daripada meletakkan pertembungan tradisi Bengali dengan nilai-nilai kemodenan yang mengasak. Dalam kata lain, Lahiri tidak cuba untuk ‘mengubah dunia’, atau berhasrat untuk mengubah seseorang daripada kejahatan kepada kebaikan melalui tulisan-tulisannya. Ini kerana, dia lebih bijak daripada itu. Dia hanya bercerita tentang perkara-perkara yang pernah dilaluinya – pergolakan seorang bangsa luar ditempat asing – kisah minoriti Bengali yang berdepan dengan ketegangan emosi dan kecelaruan akibat pertembungan nilai-nilai peribadi dan setempat.
Orang, daripada tidak tahu menjadi tahu. Daripada perasaan yang beku dan kebas, kini kembali dapat merasakan sakit-sembuh dipangkal hati. Melalui Lahiri dan buku pertamanya ini, sastera menemui sentuhan yang sekejap-sekejap hilang dari petanya. Ia boleh saja dibaca sebagai variasi elemen warisan dari Asia yang cuba memanfaatkan nilai-nilai Barat yang didepaninya.
Jhumpa Lahiri meletakkan tulisannya pada aras yang berbeza dengan penulisan kebanyakan lainnya. Dengan intensiti percaturan emosi, kegusaran pandangan-pandangan kehidupan serta himpitan nilai dan desakan realiti membangun kekuatan kepada kisah-kisah ini. Juga, yang tidak terlepas untuk dipotretkan oleh Lahiri ialah, walau apa pun percaturannya, kita tetap mahu menjari dan belajar tentang perihal asal-usul, sekaligus meraikannya dengan penuh rendah hati.
- 19 Mei 2010.


Setuju. Permainan plot pada setiap cerpen dia sangat cerdik.
Yup. Itu pun lepas banyak kali dikritik dan ditolak penerbit. Dia rileks.