ilmu antara budaya dan tradisi
Syed Hussein Alatas: The Life in the Writing
Masturah Alatas
Marshall Cavendish
2010
Saya tak pernah berjumpa untuk berbicara. Tetapi saya ingat sosok tubuh itu dengan jelas. Waktu-waktu yang ada ketika mengaji di Universiti Malaya, saya kerap ke Amcorp Mall, Petaling Jaya dihari minggu untuk berpeleseran di pasar lambaknya. Sebuah suasana yang tak pernah gagal untuk menimbulkan rasa ghairah saya sampai sekarang, terutama terhadap buku-buku lama dan terpakai. Pay Less Book waktu itu masih ada premisnya di sana. Paling utama adalah beberapa saudagar buku yang pada mereka kerap boleh ditemukan judul-judul yang asing dan aneh-aneh, tetapi tetap bermutu, yang akan berkampung di situ setiap hujung minggu.
Saya kira, suasana itulah juga yang tidak pernah gagal untuk membawa Allahyarham Syed Hussein Alatas, seorang yang selepas itu berbekas dengan mendalam sekali dibenak saya, untuk turut sama melemparkan diri ditengah-tengah suasana itu untuk dinikmati. Saya hanya memandang dari jauh. Dia, dengan seluar bergosok, kemeja kemas dan mungkin sekali dua ternampak paip yang selalu dihisap, akan dengan tekun mengamati dan membelek mana-mana buku yang barangkali menarik minatnya.
Dalam usia yang sudah lanjut itu, dengan rambut dan janggut yang sudah putih, dia memberikan satu alasan kuat kepada saya untuk jangan berhenti membuka diri kepada buku-buku yang baik kandungannya. Saya suka serba-serbi tentang perwatakannya; cara dia berjalan, menegur orang, bercakap dan sebagainya. Tenaga, kesungguhan dan dahaga ilmu yang ditunjukkannya amat luar biasa, terutama jika kita membayangkan persekitaran keilmuan di Malaysia yang sering saja diketepi dan lupa untuk diraikan.
Saya juga tak akan melupakan bagaimana perasaan yang terbit ketika saya mula bersusah payah untuk mendapatkan bukunya. Di awal itu, saya hanya menemukan buku-buku tulisannya dalam terjemahan Bahasa Melayu yang difotokopi sahaja. Saya turut sama membuat salinan fotostat untuk ketiga-tiga judul ini – Intelektual Masyarakat Membangun, Mitos Peribumi Malas dan Sosiologi Rasuah. Hanya pada 2009 barulah Dewan Bahasa dan Pustaka menerbitkan semula beberapa judul penting ini untuk khalayak pembaca di Malaysia – itu pun tidak diedar dengan meluas dan masih sukar diperoleh.
Kepada saya, sehingga setakat ini pun, belum ada seorang akademik yang sekaligus berperan sebagai seorang intelektual awam dengan giat seperti beliau. Ini saya rujuk khusus kepada kecenderungannya untuk mengulas secara langsung stigma-stigma masyarakat setempat – terutamanya yang berkait pandangan-pandangan jumud orang Melayu – dalam nada dan spektrum yang sangat luas dan melepaskan jiwa dari pagar-pagar penghadang imajinasi.
Sebagai seorang ahli akademik, dia tidak hanya terperuk di batas pagar kampus universiti. Sebagai seorang intelektual awam, dia tak pernah akur dengan arus-arus dogmatik aliran perdana yang dianuti. Baca dan ulang baca buku-bukunya dan kamu akan tahu apa yang saya maksudkan.
Autobiografi pertama
Masturah Alatas, anak bongsu beliau di dalam buku autobiografi pertama tentang bapanya memperjelaskan hal ini. Pertalian antara Syed Hussein Alatas dan proses pembacaan. Serta, paling utama seperti yang dicadangkan oleh tajuknya, ketekunan beliau untuk bergelumang dalam gelora dunia penulisan dan akedemik di dalam hidupnya.
Ia sebuah naratif yang ringkas dan jelas. Potret perjalanan keilmuan dan perkembangan Alatas dinukil dalam tona suara yang sangat personal, dari seorang anak untuk bapanya. Perkara yang dibincangkan – atau lebih tepat yang disampaikan – adalah sekitar perkembangan bapanya sebagai penulis. Rangkuman buku ini fokus dengan seberapa banyak perincian tentang itu dan tetap menambat hati mereka yang mahu berkenalan dengan sarjana ulung tanah air berkenaan.
Saya mengirim emel kepada Masturah, yang ketika ini bermastautin dan mengajar Inggeris di Itali untuk mendapatkan beberapa maklum balas daripadanya. Yang disertakan berikut ini adalah beberapa soalan, yang saya terjemah dan ringkaskan, untuk dikongsi. Semoga akan ada yang menadapat manfaat dan mula berkenalan dengan tulisan-tulisan penting S.H. Alatas selepas ini.
Pandangan tentang tulisan-tulisan terbaik S.H. Alatas, seperti Mitos Peribumi Malas dan Intelektual Masyarakat Membangun?
MA: Kedua-duanya merupakan buku yang masih relevan hari ini dan mampu untuk memercikkan perdebatan. Ada orang akan bersetuju dengan argumen-argumen yang dibawakan, sesetengah yang lain mungkin tidak. Kalau ada sesiapa yang ingin memahami bagaimana orang Melayu dipotretkan oleh penjajah kolonial serta sarjana Malaysia seperti bapa saya, maka isi buku ini patut dikupas. Begitu juga jika ada yang berminat untuk memahami bagaimana pandangan dunia Barat dan Timur terhadap kaum dan kelompok entik telah berubah, kedua-dua buku ini perlu dibaca. Kedua-duanya juga boleh dilihat sebagai pendekatan untuk mengkaji sejarah idea itu sendiri. Ia juga merupakan testimoni beliau terhadap kesungguhannya terhadap pembacaan dan kesarjanaan. Hanya buku-buku tulisannya saja yang ditinggalkan sebelum beliau berangkat pergi untuk perjalanannya yang terakhir dan tak kembali lagi.
Bagaimana pengaruh S.H. Alatas sebagai sarjana dan penulis kepada diri anda?
MA: Bapa dan saya ada perbezaan dari aspek subjek dan pendekatan. Juga, kami berbeza pengalaman akademik; dia di Malaysia dan Singapura manakala saya di Itali. Perkara paling berharga yang diajarkan kepada saya ialah bagaimana untuk mencari sesuatu yang istimewa yang ada pada manusia atau mana-mana subjek, yang bagi saya merupakan kemahiran penting kepada seorang novelis. Terima kasih ke atas pengajaran ini. Saya tak akan pernah bosan dengan kehidupan dan saya akan sentiasa ada sesuatu untuk ditulis.
Ada buku lain yang sedang dikarang berkaitan aspek lain kehidupan S.H Alatas?
MA: Ya. Saya sedang mengusahakan sebuah lagi buku autobiografi berkenaan kehidupannya sebagai seorang pengajar.
Seperti yang dicatatkan Masturah, S.H. Alatas percaya bahawa seorang penulis itu sepatutnya ‘terlibat secara langsung dengan masalah-masalah masyarakat mereka dan mampu untuk menawarkan di dalam kerja-kerja kreatif mereka, kalau pun bukan visi kepada penyelesaian masalah-masalah berkenaan, memadai dengan hanya pemahaman yang dalam tentang sesuatu masalah itu.’
- HH, 9 Julai 2010.


Terima kasih atas perkongsian ini!
Rajin-rajinlah muatnaik sebarang tulisan Tuan (kerana saya sudah tertawan)!
Terima kaseh.
Akan sekerap mampu, pastinya.
Ulasan sdra tentang buku sering saja membangkitkan ghairah saya untuk membaca. Mujur buku yg diulas ini telah selesai saya baca beberapa minggu lalu.
Cuma mahu bertanya, di mana boleh saya dapatkan Sosiologi Rasuah? Rasanya judul ini tak termasuk dalam edisi baru karya Syed Hussein Alatas yg diterbitkan DBP.
Terima kasih.
p/s: Kalau ada jualan buku di mana-mana, maklumkan lewat blog ini ya!
Ya, Sosiologi Rasuah memang tak diterbitkan DBP. Cara paling segera untuk mencarinya adalah melalui perpustakaan. Dulu saya pinjam sekejap untuk fotokopi dari perpustakaan UM.
Jualan buku? November nanti akan ada sambungan jualan murah Big Bad Wolf (mungkin tahun ini dengan nama lain) di The Mines. Tunggu.