kredibiliti kesusasteraan the paris review
The Paris Review
Vol. 193
FSG
2010
Paris agaknya menakluk suasana sentimental tersendiri yang menyemai dengan baik spora-spora kesusasteraan. Pada 1953, Harold L. Humes, Peter Matthiessen dan George Plimpton merancang untuk menerbitkan sebuah majalah – atau mungkin boleh juga disebut jurnal - sastera yang kemudiannya kita kenali dengan nama The Paris Review.
Tentu sekali, usaha mereka bertiga bukan merupakan jalan mudah. Tak diceritakan perih-jerih yang di lalui. Tetapi, kita ditahun 2010 ini pun masih berpeluang menikmati tulisan-tulisan kesusasteraan yang dikatakan ramai kritik sebagai antara yang terbaik di dunia . Luar biasa keindahannya, walaupun ditanggapi dalam bahasa Ingggeris.
The Paris Review sejak itu menjadi pentas paling berkesan dan berpengaruh kepada penulis-penulis muda, terutamanya bagi penulis dan novelis dari Eropah dan juga Amerika. Jack Kerouac ketika pertama kali mahu ‘melancarkan’ perjalanan seriusnya dalam daerah penulisan dunia, dihidu dan diangkat terlebih dahulu bakatnya oleh The Paris Review. 1955 adalah tahun di mana cerita pendek Kerouac dengan judul ‘The Mexican Girl’ pertama kali diterbitkan di dalam majalah ini. Begitu juga dengan ramai lagi penulis dan novelis berpengaruh seperti Philip Roth dan V.S. Naipaul (sekadar menyebut beberapa nama) yang memulakan langkah serius pertama dalam karier mereka dengan menumpang kredibiliti penerbitan sastera ulung ini.
William Styron, di dalam surat untuk meraikan keluaran pertama majalah ini menulis;
“The Paris Review berharap untuk mengetengahkan kerja-kerja kreatif – fiksyen dan puisi – bukan dengan maksud untuk meminggirkan aspek kritikan, tetapi dengan hasrat untuk mengalihkan elemen kritikan (sastera) ini dari tempat yang terlalu dominan seperti yang kelihatan pada majalah-malajah sastera yang lain, ke tempat di mana ia sepatutnya berada, misalnya dibahagian belakang buku ini. Saya fikir The Paris Review harus mengalu-alukan orang-orang ini ke dalam lembar-lembar kertasnya; penulis-penulis yang komited, penyair-penyair yang lunak dan bukan mereka-mereka yang selalu membuat bising tentang itu-ini berkenaan kesusasteraan. Asalkan mereka memang bagus.”
Terbitan ini bukanlah dihadirkan dalam bentuk ‘majalah’ seperti yang kita faham. Dalam versi paling baru, ia diterbitkan di dalam jilid buku seperti yang digambarkan oleh isu yang ke-193 ini. Ia diterbitkan hanya empat isu setahun, isu-isu yang mengisi setiap pertukaran musim cuaca di sana. Perlu juga dinyatakan, walaupun ia direncanakan penerbitannya awal dulu di Paris, ia kini diselenggara di New York, Amerika Syarikat dan diterbitkan oleh rumah penerbitan Farrar, Strauss and Giroux.
Dari lembar kertas majalah ini kita akan menemukan warna-warna yang sentiasa bertukar-tukar di dalam perkembangan dunia sastera kontemporari dunia. Kebanyakannya, seperti selalu, ia akan memuatkan kerja-kerja penulisan penulis-penulis baru dan muda. Pastinya dengan penuh rasa tanggungjawab, redaksi editorial majalah ini sedar akan keperluan untuk memberi suluh dan perhatian kepada suara-suara baru yang mewakili zaman mereka yang tersendiri. Mereka kekal dengan prinsip ini.
Ia semacam satu bentuk ritual untuk meraikan pandangan dan citra dari zaman-zaman yang berbeza. Yang hadir bersama nama The Paris Review adalah integriti dan kredibiliti yang sejak awal lagi sudah ditetapkan oleh pencetusnya. Maka, hingga ke hari ini, pembacanya akan menghadam tulisan-tulisan yang punya tingkat kenikmatan tersendiri. Sukar untuk menyatakan tulisan mana lebih enak di dalamnya. Ini kerana tulisan yang dipilih untuk diterbitkan semuanya ada dimensi dan kekuatan yang bukan calang-calang.
Fiksyen-fiksyen yang termuat selalunya kuat. Potret watak dan plot cerita yang jarang-jarang dibaca orang selalu mendapat tempat. Begitu juga dengan puisi-puisi yang ada. Bentuk, prosa, diksi, lirik serta apa saja elemen yang membangunkan sebuah puisi sering hadir dalam bentuk-bentuk dan bunyi-bunyi yang segar. Mereka jarang akan menampilkan kerja yang dirasakan sekadar biasa-biasa.
Paling penting jika menyebut nama majalah ini ialah siri wawancara yang dilakukan. Setiap isu akan memuatkan temuramah yang intens dan terperinci, membincangkan spektrum-spektrum kesusasteraan dan proses penulisan menurut pemahaman mereka-mereka yang ditemuramah. Tidak pernah agaknya bagi mana-mana penerbitan atau majalah yang memberikan ruang yang prominen dan konsisten seperti yang terdapat dalam The Paris Review dalam membincangkan aspek-aspek kesusasteraan dengan serius. Banyak penerbitan lain turut tampil dengan pendekatan sama, tetapi yang membezakan mereka dengan majalah ini ialah tradisi dan intensiti laporan dan penyampaian.
Kisah-kisah marginal atau terpinggir dari seluruh dunia juga boleh ditemui di dada majalah ini. Di dalam edisi ke -193 ini misalnya, Wenguang Huang, seorang penulis dari China menceritakan pengalaman keluarganya berkaitan ingatan terhadap sebuah pengkebumian mayat. Dia menyusur kembali pengalaman keluarganya itu, di era pemerintahan Parti Komunis China disenjakala tempoh kelangsungan Revolusi Kebudayaan waktu itu.
Neneknya mengharapkan pengkebumian tradisional cara nenek moyang mereka. Tetapi, Parti Komunis menentang segala macam amalan yang dianggap kuno dan keterbelakang seperti yang diamalkan oleh kebanyakan rakyat waktu itu. Yang menyepit keluarga itu di antara tradisi dan perintah ialah bapanya. Bapa beliau merupakan seorang penjawat berstatus bagi parti itu.
Dan, segala tindakan yang bercanggah dengan perintah parti – termasuk sekadar hanya perihal pengkebumian ibunya sendiri – akan menjerumuskan bapanya ke dalam lurah kemelut politik yang bukan kepalang. Semua itu masalah bagi mereka; berdepan dengan satu jasad yang hampir mati tetapi penuh dengan harapan (tentang bagaimana mayatnya harus diuruskan) dan ketakutan terhadap lembaga kuasa yang lantang dengan perintah yang mengancam diri dan keluarga.
- 15 Julai 2010.


thanks mencerahkan lagi pasai paris review. selalu aku masuk pon kes nak download interview2 dia ja.
fuh, tergamam aku baca entri kali ni.. aku nak tgk lah hasil cereka/novel kau, aku macam dah jatuh cinta dgn tulisan2 kau
Zhafir,
Interview TPR memang lain macam, semua dia balun. Yang isu ni, dia interview R. Crumb, artis komik.
Fadz,
Terima kaseh. Aku tengah nak habeskan tulisan untuk Republik Kutu. Entah jadi macam mana, aku pun tak pasti. Tinggal satu lagi dan dah terlajak deadline.