filem: law abiding citizen

Law Abiding Citizen
F. Gary Gray (2009)
Ini kisah seorang warga Philadephia yang mengucar-kacirkan sistem perundangan Amerika; selepas tidak mendapat pengadilan di atas kes pembunuhan anak perempuan dan isterinya.
Dari pandangan mata Clyde Shelton (watak utama), sistem perundangan sedia ada – beserta pelaku-pelakunya – adalah satu sistem yang korup dan tidak mampu untuk menegakkan keadilan. Pembunuh anaknya hanya dikenakan hukuman penjara dan selepas 10 tahun, bebas kembali.
Selepas daripada itu, Clyde ialah orangnya yang berperang seorang diri menyanggah sistem berkenaan. Dan, sehingga ke beberapa peringkat, berjaya. Dia melawan dengan membaca kembali peruntukan undang-undang, menjadi teramat kejam dan merancang dengan penuh bijaksana.
Satu persatu lubang yang ada di dalam sistem perundangan ditebuk dan diperlekehkannya. Dan, paling penting, itu dilakukan ketika dia di dalam penjara. Penuh sistematik, seluruh individi di Jabatan Kehakiman Philadelphia yang terlibat di dalam kes perbicaraan keluarganya dulu menjadi sasaran. Dia melakukan semua dengan tenang, sistematik dan menakutkan.
Gerrard Butler (Clyde) dan Jamie Foxx (Nick Rice) menjadi sentral watak di dalamnya. Jika pernah mengkagumi filem Seven, ini adalah sebuah lagi filem dengan nada yang sama – mungkin lebih kuat.
Dan, jika watak Clyde itu ada di Malaysia, mungkin sistem perundangan kita juga akan mendapat kejutan yang akan membogelkan banyak perkara. Berdoalah agar watak itu nanti akan muncul di sini, keluar dari fiksyen dan mimpi, membawa keresahan baru kepada mereka yang berkenaan.
- Hafiz Hamzah, 2 November 2009.

Leave a Reply