menyelingkuh hiroshima – tiga
3 September 2009
Hari untuk bersantai. Pagi ke Pulau Miyajima. 20 minit dengan bas ke bahagian utara Hiroshima, melangkaui beberapa sungai yang terbentang di tengah bandar ini – Hiroshima dibangunkan dikawasan delta datar yang menghadap laut – untuk sampai ke jeti feri yang akan membawa orang-orang ke pulau berkenaan.
Miyajima – pulau Tuhan – dulunya tidak didiami kerana pantang larang. Orang di sana percaya suatu masa dulu pulau itu sebagai Tuhan. Hanya 10 minit dengan feri. Rusa-rusa bertebaran di merata pulau; mereka wakil Tuhan yang masih menjaga pulau tradisional ini. Hati-hati kalau membawa bekal makanan atau plastik kerana rusa-rusa ini akan menyentap.
Tokong Shinto lama ada di sini. Gerbangnya ditengah laut. Semua sunyi dan tenang saja. Di pintu depan, pengunjung diminta untuk membasuh tangan dan mulut sebelum masuk ke kawasan tokong, simbolik kepada menyucikan diri sebelum memasuki tempat suci. Aku yang tak faham permintaan, sampai berkumur di situ. Dan, ramai mat-mat dan minah Jepun bergelak ketawa. “Tak perlu begitu, cukup dengan mengelap mulut saja,” tegur Miyuki Oda, gadis manis awal 30an yang mengiringi dari awal.
Jalan, bila penat berhenti mencari makan dan minum. Aku sempat mencuba makan oyster bakar, dengan penuh rasa geli-geleman. Terpaksa menelan habis kerana harganya mahal.
Tengah hari, dengan bot kecil selama setengah jam dari Miyajima, aku sampai ke lokasi yang selama ini dipendam rasa sayu; The Dome, tapak sisa bom atom yang lukanya maseh berbekas di dalam lipatan sejarah moden bandar ini.
8.15 pagi 6 Ogos 1945, Hiroshima bertukar wajah kepada kemurungan. Bom atom nuklear pertama dunia dijatuhkan di sini. 9 Ogos tahun yang sama, sebutir lagi bom ini jatuh di atas Nagasaki. 15 Ogos, Jepun mengangkat bendera putih dan sejarah tidak lagi menyebelahi negara itu dengan untung nasib.
Bom itu tidak jatuh di atas tanah Hiroshima. Ia meletus 600 meter di kaki langit, manghantar haba panas dan radiasi yang serta-merta melenyapkan dua pertiga populasi di bandar ini yang berjumlah 300,000 orang waktu itu. Selebihnya, walau masih hidup, mereka terdedah kepada radiasi nuklear yang tidak membolehkan mereka hidup seperti biasa untuk beberapa generasi mendatang. Itu, agaknya, adalah kecelakaan kemanusiaan paling agung dan luluh dalam sejarah moden dunia.
Aku menghabiskan banyak masa di situ. Berjalan seorang di taman peringatan bom atom dan menampung rasa hiba yang tak terungkap ketika menjenguk muzium peringatannya.
Untuk menyaksikan sendiri artifak, barang asal tinggalan insiden itu dan fotografi yang menyayat hati, bukan satu perkara yang mudah. Ada seluar yang dipakai murid perempuan pagi pengeboman itu dipamerkan, begitu juga dengan perkakasan lain. Apa saja yang terkesan daripada serangan itu, dalam keadaan asalnya ada dipamerkan untuk umum.
Di satu sudut, sebuah foto pertama oleh seorang jurufoto waktu itu – Yoshito Matsushige, yang turut terkena serangan merakam momen paling getir dan paling awal sekali hari itu. Dia cuba untuk berdiri dan mengetik imej pertama itu hanya selepas 30 minit mencuba. Selepas itu, dia tidak sanggup lagi untuk meneruskan usaha itu, kerana menyifatkan keadaan ketika itu sebagai ‘teralalu mengerikan’.
Di sisi fotografinya yang diberi judul Viewfinder Clouded With Tears, beliau menulis baris-baris ini;
“Immediately after the bombing. I fought for myself for 30 minutes before I could take the first picture. After taking the first, I grew strangely calm and want to get closer. I took about ten steps forward and tried to snap another, but the scene I saw was so gruesome that my viewfinder clouded with tears.” – Yoshito Matsushige
Aku berajalan ke setiap ruang pameran tanpa gagal – seorang diri. Orang-orang lain juga tidak lagi mengukir senyum di bibir. Suasan hening. Aku membeli sebuah buku sajak yang merakam insiden berkenaan,oleh penulis-penulis Jepun.
Aku keluar dari ruang hiba itu selepas sejam di dalam. Aku hanya mampu melabuhkan pandang ke langit dengan mata yang berair dan perasaan sebak. Anak-anak sekolah yang berpipi merah gebu tadinya juga sudah tidak seceria ketika awal memasuki muzium berkenaan. Aku berlegar di taman itu untuk beberapa ketika lagi. Seorang wanita berusia di situ ada memberi tahu yang Mahathir Mohamad juga baru melawat tempat itu, ketika sambutan memperingati tragedi itu awal Ogos lalu. Ketika berjalan pulang, aku mendekati sekali lagi sisa bangunan Municipal Prefectural Hall (The Dome) itu, melihat dengan lebih dekat tembok-tembok yang tinggal sambil membayangkan insiden pagi bersejarah itu, sampai letih untuk bersedih lagi. Bangunan itu maseh tersisa kerana ia dibina daripada konkrit. Bangunan lain yang ada waktu itu, yang dibina daripada kayu, lenyap sama sekali.
Malam, dengan bekal secangkir kopi susu panas, bertemankan angin sejuk Hiroshima, aku hanya duduk diam menconteng kata-kata tak berguna pada buku catatan. Sekadar menghabiskan masa berkhalwat bersama bandar yang paling banyak meninggalkan kesedaran, mengajarkan cinta dan meramahi aku dengan akrab dan santun yang indah.
4 September 2009
Aku hanya menatap Hiroshima sedapat mungkin ketika bergerak ke stesen keretapinya awal pagi itu. Kembali semula ke Kansai untuk mendapatkan penerbangan yang dijadualkan tengah hari nanti.
Hiroshima seperti tidak merelakan aku pergi, kerana masih belum puas bergelut dengan rentaknya. Tulahnya, pagi itu di Shin-Osaka, aku tersalah mengambil tren. Sepatutnya menghala balik ke Osaka, tetapi tren yang aku naiki itu mengarah ke Kyoto.
Aku terpaksa balik dalam keadan gelabah takut terlepas kapal terbang. Mujur tak ada caj tambahan yang dikenakan oleh konduktor tren untuk perjalanan patah balik itu. Mungkin kerana kesian melihat keadaan aku yang kelam kabut dan kepenatan.
Sejam sebelum kapal terbang berlepas, aku tiba di Kansai. Nasib menyebelahi aku kerana di situ tidak ramai orang untuk mempercepatkan urusan daftar masuk.
Ketika tayar kapal terbang meninggalkan landasan di Kansai, aku memaku pandangan pada jambatan, laut dan bandar Osaka dengan perasaan yang kebas. Tidak senyum, tidak juga muram. Aku tahu aku akan kembali lagi ke ceruk rantau ini nanti.
- Hafiz Hamzah, September – Oktober 2009.

The Dome, Municipal Prefectural Hall, Hiroshima.
Jika mahu melihat lebih foto perjalanan ini, sila lawati album foto Facebook: Hafiz Jelir.

Leave a Reply