Seraphine: Sebuah obsesi kesederhanaan

Seraphine
Martin Provost
2008
Pada kebanyakan waktu, kita jadi tak faham benar apa yang membuatkan kita lekat menonton sebuah filem sampai habis. Kekuatan filem yang bagaimana yang akan membuatkan kita terbayang-bayang babaknya – selepas menonton – dan mahu ‘membincangkan’nya dengan diri sendiri di malam-malam yang renyah. Kekurangan mungkin jadi kelebihan. Kelebihan juga mungkin boleh jadi sesuatu yang membunuh momentum sesebuah filem, terutama jika kita mula sedar yang filem itu sedang membina keterlampauan dengan elemen-elemen yang sepatutnya sudah cukup.
Seraphine membina kepercayaan penonton secara luar sedar yang pada tingkat-tingkat tertentu, amat mengkagumkan. Filem Peranchis ini, sama seperti filem-filem asing diluar lingkungan Hollywood, menganut perkataan ‘minimal’ yang dihujungnya nanti menjadi kekuatan yang luar biasa. Minimal yang dimaksudkan di sini ialah imej visual yang mahu ditonjolkan oleh pembikinnya, Martin Provost. Tiada grafik yang direka-reka. Namun, filem ini tidak mengabaikan satu elemen penting yang seharusnya ada – dengan maksud menyampaikan kesan pada penonton – iaitu fotografi. Hal yang mudah disebut, tetapi tak ramai yang sedar apa yang mendirikan fotografi itu sendiri. Seraphine meletakkan penonton pada kerangka (frame) yang indah, menyudutkan pandang dari arah ‘lembut’ dan penuh tanda tanya, mewarnakan setiap subjek di dalam kerangka dengan cahaya cantik – walaupun dengan pencahayaan rendah – dan semestinya menghanyutkan terus pengalaman penglihatan penonton dengan latar yang nampak tulen dan teliti, sehingga susah untuk terlihat perkara-perkara yang mungkin membantutkan keasyikkan.
Seraphine adalah filem yang bercerita tentang keperitan, obsesi, kegilaan, perang dan segala macam keindahan kehidupan. Seraphine Louis (Yolande Moreau) adalah seorang tukang gaji yang hidup sebagai bibik di rumah-rumah sekitar Senlis, kawasan pinggiran terpencil di Peranchis sebelum perang dunia pertama. Dia hidup berseorangan disebuah bilik sempit yang disewa dan sering dihimpit oleh perasaan rendah diri yang dibentuk oleh tuan-tuan yang menggaji beliau untuk rutin di rumah. Dalam diam-diam, di waktu malam ketika bersendiri, Seraphine mencapai papan nipis dan berus untuk menconteng-conteng dengan warna dan bunga.
Tak ada yang kesah dengan lukisan-lukisan itu di Senlis melainkan Wilhelm Uhde (Ulrich Tukur), seorang pelukis, pengkritik dan pengumpul yang terserempak dengan lukisan Seraphine ketika makan malam disebuah rumah tempat Seraphine bekerja. WIlhelm membeli lukisan berkenaan dan bertemu sendiri dengan Seraphine. Katanya, wanita itu ada keunikan tersendiri dan berjanji akan mengetengahkan bakat beliau. Hajat itu bagaimana pun tidak sampai kerana perang dunia pertama meletus.
Di dalam filem ini, tiada aksi perang yang paparkan. Tetapi, tekanan, perasaan, dan kekhuatiran tentang perang itu digambarkan oleh keadaan Seraphine dan Senlis selepas Wilhem terpaksa melarikan diri. Seraphine membangun kesungguhan dan obsesi yang luar biasa di dalam dirinya. Keperitan hidupnya diterjemahkan pada kanvas dengan lukisan-lukisan yang makin personal dan terkesan, sayangnya sudah tiada siapa yang mahu memberikan perhatian – sehinggalah Wilhelm kembali mencari beliau selepas menghadiri pameran oleh pelukis-pelukis di Senlis dan terlihat kerja tangan Seraphine.
Naratif filem ini berjalan perlahan, kebanyakannya di dalam momen-momen senyap yang memberi peluang kepada penonton untuk menikmati visual yang amat-amat menyentuh. Seraphine mula mengumpul kepercayaan kepada diri sendiri yang dia mampu melukis dengan baik. Kepercayaan ini, yang datang juga dengan harapan dan obsesi, membolehkannya mewarnakan perasaan diri – dengan subjek bunga – sehingga melangkaui jangkaan Wilhelm sendiri. Dari situ, terbit harapan baru – Wilhelm berjanji (lagi) untuk mencari peluang buat Serphine untuk membuat pameran solo di Paris. Hal ini sekali lagi tidak menjadi. Dan, kali ini, ia lebih meruncing. Seraphine – mungkin sudah sampai ke tahap ‘beriman’ kepada lukisan-lukisannya menjadi cukup-cukup tertekan kerana pameran berkenaan tidak dapat dia adakan akibat kesempitan Wilhelm sendiri dan ekonomi waktu itu.
Disebabkan harapan, kepercayaan Seraphine runtuh. Beliau masuk terlalu dalam ke dalam karya-karyanya – yang waktu itu sudah dibandingkan dengan kerja Van Gogh – dan kesudahannya, menjadi gila. Beliau mati pada 1942 di sebuah rumah sakit jiwa, dalam keseorangan dan kesedihan.
Filem ini adalah kesah hidup Seraphine Louis yang terkenal dengan lukisan naif waktu itu. Mempamerkan sebuah filem dengan peralihan babak yang ketara seperti metod filem lama turut memberikan kesan, sesuai dengan latar yang mahu dipersembahkan. Apa yang diketengahkan oleh filem ini bukanlah susuk tubuh orang yang bernama Seraphine Louis itu saja. Di atas semua kemungkinan, filem berkenaan merakam semangat yang menjadikan insan ini besar dan menjadikannya sebuah kesah hidup yang inspiratif untuk memayungi jiwa-jiwa sebu yang mendepani dilemma sama seperti Seraphine.
Dari kesah nyata yang mempunyai tapak realiti yang kuat agaknya sesuatu yang mungkin tidak begitu sukar untuk dipotretkan ke dalam sebuah filem. Namun, pengolahan naratif, sususan babak dan plot serta kesayuan imej bergerak yang ada, filem ini adalah contoh mudah bagaimana keberkesanan impak sebuah filem dinukilkan.
Unsur sadis kemanusiaan mungkin juga membantu melahirkan simpati dalam diri penonton, yang dengan senang diekploitasi oleh layar untuk memukau perhatian seterusnya. Kesederhanaan yang ada pada filem ini adalah hal yang menjadikannya unik dan kuat.
Filem biografi seperti ini tidak sukar untuk meraih perhatian, jika dibikin dengan betul. Kesah realiti sudah semestinya bermain dalam imajinasi penonton, walaupun sebelum mengenali susuk individu yang diperihalkan. Kelebihan inilah yang digunakan oleh Seraphine dan menjadikan perasaan sebagai satu tema yang cukup intrik dan menekan.
Dengan itu, jika orang mula menitiskan air mata sesudah dipersenda oleh layar perak di dalam bilik gelap – sama juga dengan tindakan memarahi orang lain yang bercakap di telefon waktu itu – kita tahu, perasaan dan emosi kita sedang ditambat sepenuhnya pada sebuah filem yang baik, seperti Seraphine.
Hafiz Hamzah | 29 mei 2009

[...] Keindahan adalah kegilaan yang menjadikan sesuatu hal itu agung. Tonton jika berpeluang. Baca di sini; tulisan ringkas berkenaan filem [...]
filem: seraphine « SPEKTRUM MUZIKALITI said this on June 10, 2009 at 4:55 pm |