
Seno Gumira Ajidarma
PT Gramedia
1996
Menurut Seno Gumira Ajidarma – melalui himpunan cerpen di dalam buku nipis ini – cinta harus dihunjam dengan pelbagai pertanyaan, mungkin. Dan cinta, agaknya, hadir sebagai sesuatu yang agung, sehingga melangkau keterbiasaan. Ini idea-idea yang dilontar oleh Seno sejak tahun-tahun 1980an lagi; bukan sesuatu yang baru di dalam lenggok penghasilan kerja-kerja tulisannya.
Ada beberapa ketika dan waktunya, di sekitar Petaling Jaya dan Kuala Lumpur, beberapa kerat anak muda duduk dengan penuh rasa ghairah yang tersendiri, berbual kosong tentang kerja-kerja Seno yang kini sudah menimbun diterbitkan sebagai buku.
Sekali dilihat, cerpen-cerpennya seperti muncul dengan dengan segala keremehan. Keremehan gaya, keremehan ayat dan keremehan perihal. Tetapi kita perlu menunggu dulu. Jangan tergopoh menyimpulkan perasaan kerana, ada perkara yang terselit ditengah-tengahnya yang akan membuatkan kita merasa nikmat yang manis dan tersenyum sendiri.
Di sebalik simplifikasi kesah yang dipamerkan, cerpen-cerpen Seno sering meninggalkan rasa puas. Ada keindahan tersendiri yang perlu dicari sebelum kita memahami apa yang mahu diceritakan. Kata orang, walaupun pada kebanyakan ceritanya nampak mudah dan disampaikan dalam nada witty, ia masih mengandung personifikasi sindiran dan cerminan kepada persekitaran tanpa mahu berahsia dan menipu.
Di dalam Sebuah Pertanyaan Untuk Cinta, sebuah buku yang menghimpunkan cerpen-cerpen Seno dari tahun 80an lagi, Seno mempaparkan kisah cinta yang bagi sesetengah orang mungkin tidak boleh dituliskan – kerana malu, atau tidak ada moral, atau mungkin mengandungi unsur jijik yang memualkan. Tetapi itu tidak menjadi hal. Menulis, tiada ada pantang larang. Tidak ada garis pandu tentang bagaimana seharusnya sebuah cerpen itu ditulis. Di dalam dunia imajinasi, semuanya boleh jadi – dan itulah yang ditunjukkan oleh Seno.
Cinta sememangnya datang dalam bentuk-bentuk yang tak diduga. Ada juga kalanya cinta itu menyesakkan, mengerikan dan menakutkan. 14 cerpen cinta yang ada di dalamnya melihat cinta dari corong-corong berbeza. Ini bukan kesah biasa, yang direka untuk melunakkan perasaan orang dengan bayangan cinta yang meluluhkan hati sampai berderai air mata. Cinta lebih besar dari pada sekadar itu.
Seno menulis tentang cinta-cinta haram, pertembungan hati dan perasaan yang kacau bilau serta mungkin akan mengerutkan dahi mereka yang tidak pernah membaca tulisan sebegini sebagai sebuah kerja sastra.
Seno menulis tentang cinta seorang suami terhadap perempuan lain. Juga, kisah bagaimana seorang lelaki yang merasakan memperoleh cinta – daripada sebuah tenungan – daripada seorang lelaki lain, yang sebelumnya tidak pernah diperoleh daripada mana-mana perempuan.
Ada juga kisah seorang wanita – seorang istri dan ibu – yang bakal menyambut ulang tahun usia ke-40, terbayang-bayangkan bibirnya yang entah berapa banyak kali pernah dikucupi lelaki lain, daripada sebelum bernikah sehinggalah ke usia itu, ketika mengoleskan lipstik sebelum menghadiri majlis hari jadinya itu.
Di satu kisah lain, seorang anak kecil terperangkap dengan angan-angan menari ballet; mahu mengikut jejak majikan ibunya yang bekerja sebagai pembantu. Hasratnya ditentang halus oleh sang ibu, kerana, tanpa diketahui oleh anak itu, dia sebenarnya anak haram suami si majikan yang sudah melarikan diri.
Seno juga kerap membuka cerita-ceritanya dengan ayat-ayat yang memikat. Seperti kisah ‘Dua Lelaki’ ini, yang berkisah tentang pergolakkan rumah tangga Rusli yang didialogkan kepada watak ‘aku’:
‘Perceraian ternyata sama indahnya dengan pernikahan itu sendiri,’ kata Rusli tiba-tiba. Aku tidak membantah maupun membenarkan. Kulihat wajahnya yang selalu riang itu, ada sesuatu yang nampak menggores. ‘Pekerjaan yang berat dan banyak ternyata juga sama merangsangnya dengan seorang istri yang menggairahkan,’ sambungnya lagi. Aku tetap diam.
Dan, rupa-rupanya dihujung nanti, ‘aku’ itu sendiri yang diam-diam mengatur temu janji bersama Maya, istri Rusli.
Pembuka itu saja sudah mengundang macam-macam rasa. Mungkin ada orang yang akan merakannya enak, mungkin juga ada yang akan marah-marah kerana menurut mereka mungkin, ayat itu begitu kntra sekali dengan apa yang sepatutnya terjadi dengan norma biasa tujuan pernikahan seperti yang perturunkan.
Jangan marah-marah dengan pernyataan sebegini. Kalau tetap mahu memaki-maki, tak ada lain yang patut disembur dengan kata-kata itu melainkan diri kita sendiri dan keadaan yang mendesak di dalam persekitaran.
Seno merakam cabaran dan tuntutan cinta di era moden, di mana orang-orang yang mendiaminya sudah jadi kacau bilau akibat dunia sekeliling mereka. Semua ini, ditambah dengan cara Seno menggarap cerpen dengan cara yang mudah, melahirkan nikmat yang tersendiri kepada yang membaca.
Dan tentunya, ini merupakan satu lagi potret seni yang memaparkan cinta sebagai satu elemen kehidupan yang mungkin tidak akan dapat dikuasai sampai bila-bila. Untuk memahaminya saja satu masalah, inikan pula untuk memiliki cinta itu sendiri. Selamat mencuba.
- Seno Gumira Ajidarma akan berada di Kuala Lumpur untuk Festival Hak Asasi Manusia (FaHAM) yang akan berlangsung pada 13-15 November ini. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman www.frinjan.net dan boleh juga sertai grup Frinjan di Facebook.
- Hafiz Hamzah, 31 Oktober 2009.








